Thursday, May 31, 2012

PERHIMPUNAN BULANAN BIL 5/2012 DAN SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT JPN JOHOR

Pada 29 Mei 2012 Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Johor telah diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur kepada Perhimpunan Bulanan Bil 5/2012 dan Sambutan Hari Guru Peringkat Jabatan Pelajaran Johor.

Pelbagai persembahan menarik seperti persembahan string orkestra dari gabungan sekolah-sekolah daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang yang mengasyikkan. Selain itu pasukan koir dari guru-guru daerah Kota Tinggi telah menyanyikan 2 buah lagu iaitu Lagu Guru Malaysia dan Lagu Tema Hari Guru 2012.

Di majlis ini juga Pengarah Pelajaran Johor telah melancarkan slogan Johor Leads dan diikuti dengan persembahan multimedia yang menarik perhatian para hadirin.

Monday, May 7, 2012

Mesyuarat Verifikasi Data OPMEN Bagi Tarikh Berakhir 30 April 2012

Mesyuarat di atas telah diadakan seperti butiran berikut:

Tarikh    : 7 hingga 9 Mei 2012
Tempat   : Hotel Seri Malaysia, Melaka

Seramai 35 orang terdiri daripada pegawai Unit Menengah, Jabatan Pelajaran Johor, Pen. Pegawai Pelajaran Daerah (Menengah), Pen. Pegawai Pelajaran Daerah (KGSK) dan Jurulatih Utama OPMEN Negeri Johor telah berkumpul bagi kutipan data OPMEN bagi tarikh berakhir 30 April 2012. Kutipan data ini akan digunakan bagi proses penempatan dan petukaran guru sesi Jun 2012.

Selain itu, mesyuarat ini juga dimanafaat bagi membincangkan isu-isu berbangkit bagi pengurusan Unit Menengah seperti isu kewangan dan perjawatan.

Thursday, April 19, 2012

Kursus Profesionalisme Guru Permulaan Bil 1/2012

Tarikh : 26 - 28 April 2012

Tempat : Hang Tuah World Heritage Hotel, Melaka


Kursus ini yang telah diadakan seperti di atas telah menghimpunkan 80 guru baharu dari seluruh negeri Johor. Ucaptama telah disempurnakan oleh Encik Abdul Aziz Bin Hj. Redwan, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Johor. Manakala perasmian penutup telah disempurnakan oleh En. Kamarudin Bin Abu, Timbalan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Johor.

Semasa kursus tersebut, peserta telah didedahkan dengan tajuk yang berkaitan pengurusan penyelesaian masalah, pengurusan  akademik dan Hal Ehwal Murid bagi menghadapi situasi di sekolah.

Wednesday, December 9, 2009

NKRA 3: EDUCATION

SUB-NKRA 1: High Performing Schools
  • Rekod pencapaian akademik yang cemerlang dan sentiasa meningkat
  • SKPM melebihi 90 peratus.
  • Pengiktirafan/ anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  • Telah menghasilkan pemimpin yang mempunyai towering personalities.
  • Menjadi tempat rujukan dan dijadikan penanda aras
  • Jaringan dengan sekolah tempatan/ antarabangsa.
  • Hubungan dengan IPT tempatan/ antarabangsa
SUB-NKRA 2: Bai’áh (New Deal)
  • Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan, kerajaan akan menawarkan new deal atau Bai’ah kepada kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
  • Pemimpin pendidikan yang terlibat dengan bai’ah akan diberi insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan sekiranya pencapaian mereka melepasi sasaran yang telah ditetapkan.
  • Performance Based Assessment digunakan untuk mengenalpasti tahap pencapaian dan kecemerlangan pemimpin pendidikan di sekolah. Langkah ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan kualiti pemimpin pendidikan di sekolah di samping memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah mencapai tahap kecemerlangan yang dikehendaki. .”
  • Langkah ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan kualiti pemimpin pendidikan di sekolah di samping memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah mencapai tahap kecemerlangan yang dikehendaki

SUB-NKRA 3: Pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (LINUS)
  • Literasi: Kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan majmuk yang mudah serta mengaplikasi pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian
  • Numerasi: Kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan seharian
SUB-NKRA : Prasekolah
  • Pendidikan prasekolah bakal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
  • Pendidikan prasekolah bakal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
  • Meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20% iaitu daripada 67% (2009) kepada 87% (pada akhir tahun 2012) dengan memasukkan semua prasekolah kerajaan dan swasta dalam sistem pendidikan kebangsaan.
  • Kurikulum Prasekolah sedia ada akan ditambahbaik dan waktu interaksi dalam Bahasa Inggeris ditambahkan menjadi sehingga 50% (cadangan)
  • Sebanyak 4194 kelas prasekolah baru akan diwujudkan menjelang tahun 2012.
  • KPM akan menyediakan latihan kepada guru prasekolah KPM dan swasta melalui pelbagai kaedah latihan seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Kursus Peningkatan Profesionalisme secara berterusan dan kursus-kursus lain seumpamanya

Friday, December 4, 2009

Tuntutan Untuk Guru Yang Lulus Tukar

Kepada guru-guru yang lulus untuk berpindah dan layak utk menuntut ...sila hantar tuntutan dgn segera. kegagalan anda akan menyebabkan tuntutan anda tidak akan dibayar pada thn hadapan

Wednesday, December 2, 2009

Standard Guru Malaysia



Pengenalan

Standard Guru
Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti. Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan.

Latar Belakang

Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama di mana bina upaya adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya.

Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.
Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja global.

Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:

”... as the most significant and costly resource in schools, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”
(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru.

Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju utama latihan perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi, tiga aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan standard guru sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.

Rasional

Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:

• guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan,

• agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi,

• KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan, dan

• Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.

Tujuan

Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:

• mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran,

• mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.
Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.

Penggubalan

Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:

• pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik,

• Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan, dan

• proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.

Penggunaan
Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:

• Guru
1. Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
2. Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri

• Pendidik Guru di Institusi Latihan Perguruan
1. Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard
2. Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri
3. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih (guru praperkhidmatan) atau peserta kursus (guru dalam perkhidmatan)
4. Mengenal pasti strategi bagi membantu guru pelatih atau peserta kursus meningkatkan tahap pencapaian standard

• Pengurus dan Pentadbir Institusi Latihan Perguruan
1. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus.
2. Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh institusi.
3. Mengenal pasti strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard dan keperluan.

• Guru Besar dan Pengetua Sekolah
1. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
2. Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.

• Agensi Latihan Perguruan
1. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus di institusi latihan perguruan.
2. Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
3. Mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang boleh ditambahbaik.

Glosari
Berikut adalah penjelasan kepada istilah yang digunakan dalam dokumen Standard Guru Malaysia, Panduan Standard Guru Malaysia dan Instrumen Standard Guru Malaysia.
Guru
Tiga kategori guru yang dimaksudkan ialah guru terlatih yang sedang mengajar di sekolah, guru terlatih yang sedang mengikuti kursus dalam perkhidmatan di institusi latihan perguruan, dan guru pelatih yang sedang mengikuti kursus praperkhidmatan di institusi latihan perguruan.
Institusi Pendidikan
Sekolah atau mana-mana tempat lain, di mana dalam menjalankan kerja sesuatu organisasi atau institusi, individu lazimnya diajar, sama ada di dalam satu kelas atau lebih.
Standard
Pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru.
Keperluan
Pernyataan aspek latihan perguruan yang patut disediakan dan dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
Bilik Darjah
Lokasi dan ruang di mana sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, termasuk bilik kuliah, bengkel dan makmal.
Kompetensi
Kemahiran profesional guru berdasarkan amalan nilai profesionalisme, pengetahuan dan kefahaman, dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Institusi Latihan Perguruan
Organisasi yang bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan latihan perguruan termasuklah IPG dan fakulti pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Agensi Latihan Perguruan
Organisasi yang menggubal dasar dan memantau pelaksanaan latihan perguruan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan BPG
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)
Institusi yang melaksanakan latihan perguruan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sekolah
Institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, sekolah teknik, sekolah pendidikan khas, sekolah vokasional.
Murid
Pelajar sekolah yang menerima pengajaran dan pembelajaran daripada guru.
Program
Susunan kursus dan isi kandungan pembelajaran yang dirancang serta direka bentuk bagi suatu tempoh tertentu untuk mencapai hasil pembelajaran seperti yang ditentukan dalam matlamat dan objektifnya. Program yang dimaksudkan akan menjurus kepada penganugerahan sesuatu kelayakan.
Kursus
Unit asas pembelajaran yang membentuk sesuatu program, mempunyai hasil khusus, kandungan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta kaedah penilaian bagi menyokong pencapaian hasil pembelajaran.
Kurikulum
Skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di institusi latihan perguruan. Kurikulum merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan, dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang pelajar dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
Aktiviti Kokurikulum
Aktiviti persatuan atau kelab, sukan dan olahraga, serta unit beruniform yang wajib diikuti oleh semua guru pelatih yang mengikuti latihan perguruan.
Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS)
Guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ditempatkan di sekolah selama satu minggu untuk memberi peluang kepada mereka memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.
Minggu Orientasi Sekolah (MOS)
Guru pelatih Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI SR) Jawi, Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) ditempatkan di sekolah selama satu minggu untuk memberi peluang kepada mereka memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.
Praktikum
Semua guru pelatih yang mengikuti latihan perguruan di tempatkan di sekolah untuk pengalaman praktik di dalam dan di luar bilik darjah. Praktikum menyediakan peluang kepada guru pelatih mempraktikkan teori dalam amalan pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan teori pengajaran dan pembelajaran yang tersendiri.
Penilaian
Pengukuran berterusan yang dijalankan sepanjang tempoh kursus pengajian atau program latihan dan termasuklah apa-apa peperiksaan bertulis yang membawa markah atau gred bagi sesuatu kursus atau program latihan atau sebahagian daripadanya.
Pembangunan Profesionalisme Berterusan
Program latihan secara sistematik yang menjurus ke arah peningkatan profesionalisme dan pembangunan kerjaya serta kecemerlangan perkhidmatan.
Hasil Pembelajaran
Penguasaan guru dalam amalan nilai profesionalisme keguruan, ilmu pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Pihak Berkepentingan
Pihak yang mempunyai kepentingan bersama secara langsung dalam konteks perkhidmatan pendidikan. Contohnya sekolah, ibu bapa, penaja, ketua perkhidmatan.
Budaya IPG
Amalan kerja warga IPG bertujuan mewujudkan identiti institusi unggul yang melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu, dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.
Infrastruktur
Kemudahan fizikal di institusi latihan perguruan bagi menyokong penterjemahan dan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan.
Infostruktur
Pemilihan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) secara berkesan, jaringan dalaman dan luaran serta perkhidmatan pusat sumber.
Pengurusan Kualiti
Mekanisme dan kerangka kualiti semua proses aktiviti organisasi bagi menjamin kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Pendidik Guru
Merupakan individu yang bertauliah yang melatih guru di institusi latihan perguruan.


Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Standard_Guru_Malaysia

Saturday, November 21, 2009

Taklimat GSST bil 8/2009

BUTIRAN PROGRAM

Program : Majlis Taklimat Penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih

Tarikh : 26.10.2009

Masa : 8.00 pagi-12.30 tengahari

Tempat : SMK Mohd Khalid

Sasaran : Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST)

LAPORAN SEPANJANG PROGRAM

Sesi Pendaftaran

Bermula 8.00 pagi kaunter pendaftaran telah dibuka bagi membolehkan guru-guru baru membuat pendaftaran mengikut daerah masing-masing. Pada majlis ini seramai 391 guru telah mendaftar. Selepas pendaftaran peserta dan keluarga menikmati sarapan pagi yang telah disediakan di kantin sekolah.

Taklimat Penempatan

Acara bermula pada pukul 9.00 pagi iaitu Taklimat Penempatan yang disampaikan oleh En Kamarudin B. Abu iaitu Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah. Di dalam taklimatnya En . Kamarudin menyentuh tentang ciri-ciri seorang guru yang dinamik. Selain itu, En. Kamarudin juga memberi penerangan tentang visi, misi, matlamat, pentadbiran dan pengurusan Jabatan Pelajaran Johor

Taklimat Perkhidmatan

Taklimat seterusnya ialah Taklimat Perkhidmatan yang disampaikan oleh En. Abd. Rahim B.Mahmud, Ketua Pembantu Tadbir Unit Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Johor. Banyak maklumat penting yang disampaikan oleh En Rahim di antaranya maklumat tentang Guru Sandaran Siswazah Terlatih, Elaun dan kemudahan yang layak diterima, menghadiri temuduga dan kursus-kursus yang telah ditetapkan untuk disahkan di dalam perkhidmatan.

Taklimat Integriti

Selepas taklimat perkhidmatan En Abdullah b. Yusof, Pegawai Kaunseling PPD telah menyampaikan Taklimat Integriti. Di dalam taklimat En Abdullah beliau menerangkan tentang integriti dan peranan seorang guru perlu mempunyai integriti yang tinggi supaya dapat melahirkan pelajar yang berintegriti.

Acara Perasmian

Majlis berehat seketika pada 10.30 pagi, sebelum acara perasmian. Acara perasmian bermula pukul 11.00 pagi dengan kehadiran Tn. Hj. Markom B. Giran, Timbalan. Pengarah Pelajaran Johor. Acara dimulakan dengan Nyanyian Lagu Bangsa Johor, Nyanyian Lagu Guru Malaysia dan Nyanyian Lagu Selangkah Ke Hadapan. Sebelum Ucapan Alu-aluan peserta dapat menonton Tayangan Video Korporat JPNJ.

Ucapan Alu-aluan telah disampaikan oleh Tuan Hj. Jasni B. Omar beliau merupakan Timbalan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah mewakili En. Md. Hasidin B. Hj Zaini yang tidak dapat hadir. Di dalam ucapan beliau antara lain menyentuh tentang minggu orientasi yang akan dijalankan selama 3 minggu seperti mana dikehendaki oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan mengharapkan guru-guru baru dapat menjadi guru yang berwibawa dan model terbaik kepada pelajar.

Acara yang ditunggu-tunggu ialah Ucaptama dan perasmian majlis oleh Tuan Haji Markom B. Giran, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor. Di dalam ucapan Tuan Haji Markom, beliau mengharapkan guru-guru dapat berkhidmat dengan tekun dan dedikasi untuk melahirkan pelajar yang cemerlang selaras dengan matlamat JPN untuk menjadi top 5.

Selepas acara perasmian acara penyerahan surat penempatan GSST mengikut daerah masing-masing. Di sini pengetua atau wakil akan mengambil guru-guru baru sekolah masing-masing untuk berkenalan dan membawa mereka ke sekolah.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya program ini berjalan lancar dan berjaya mencapai matlamat yang disasarkan. Bagi peserta, majlis seumpama ini dapat memberikan banyak input yang berguna sebagai penyuntik motivasi dan pendedahan mengharungi cabaran alam kerjaya sebagai guru masa kini.